ALOR SETAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada negara sudah bersedia melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun menerusi pendaftaran pemilih secara automatik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Parlimen, urusan berkaitan pindaan itu dilaksanakan oleh SPR.
Menurutnya, SPR perlu membuat penjelasan berhubung isu berkenaan kerana ramai mahu pindaan itu dikuatkuasakan pada PRU15 akan datang.
"Saya yakin SPR akan membuat pengumuman sejauh mana mereka sudah mengambil tindakan berhubung pindaan Perlembagaan itu. Sekiranya ada halangan pun, SPR akan umumkan, bukan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, pada Ahad.
Pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Rais berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pindaan terhadap Artikel 47 mengenai umur calon dan Artikel 119 berkaitan umur layak mengundi itu dilakukan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Setakat ini saya belum menerima laporan terbaru, masih ada empat bulan lagi. Apabila SPR lapor kepada kita, baru kita tahu bila boleh laksanakan,” katanya.
Pada 3 November tahun lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
Melalui kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.
"Itu perancangan kerajaan sebelum ini, apabila dibuat pindaan perlembagaan maka perkara itu terpaksa diambil tindakan oleh SPR. Sekarang SPR yang perlu jelaskan sama ada mereka sudah ambil tindakan berkaitan,” katanya.
Menurutnya, sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPR yang akan menguruskan hal berkenaan walaupun ia di bawah kerajaan.
Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.
Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.