KULIM - Empat lelaki dikenakan kompaun RM10,000 masing-masing selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 di Lunas pada jam 3 pagi, Ahad.
Kompaun yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim itu membabitkan lelaki berusia 20 hingga 23 tahun atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal serta gagal memberi alasan munasabah berkumpul tanpa sebab.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, empat lelaki itu dikompaun ketika berkumpul di luar rumah pada jam 3 pagi tanpa alasan munasabah.
"Mereka juga dilihat melanggar SOP iaitu tidak memakai pelitup muka sepertimana arahan ditetapkan," katanya ketika melakukan pemantauan pematuhan SOP di Kulim Central pada Ahad.
Menurutnya, bagi memantapkan pemantauan pematuhan SOP, empat sekatan jalan raya dilaksanakan di laluan membabitkan sempadan negeri selain rondaan unit Kereta Peronda MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP berkuatkuasa 11 Mac lalu.
Menurutnya, jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini adalah susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Bagaimanapun, katanya, nilai kompaun bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah untuk menetap nilai sebenar kompaun dikenakan selepas rayuan dikemukakan.