Sektor pelancongan masih lemah

Iklan
Mustapa (tengah) semasa sidang media selepas bertemu penggiat industri pelancongan Kelantan di Hotel Grand Renai pada Ahad.

KOTA BHARU - Satu kertas kerja menyeluruh melibatkan isu semasa industri pelancongan terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu diserahkan kepada kerajaan bagi mendapatkan tindakan sesuai selaras dengan pemulihan sektor lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor lain seperti pembuatan dan pertanian sudah menunjukkan pemulihan yang semakin positif, namun pelancongan masih berada di tahap lebih rendah.

Iklan
Iklan

Mustapa yang juga Urusetia Majlis Tindakan Ekonomi mencadangkan kertas kerja berkenaan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk mendengar hal terkini berkaitan sektor itu.

"Jumlah pelancong pada 2019 melebihi 26 juta dan tahun lepas cuma empat juta sahaja, penurunan lebih 80 peratus. Jadi kali ini kita ambil peluang mendengar isu dan masalah daripada penggiat industri itu. Isu ini ada yang lama dan ada isu baharu.

Iklan

"Menteri Pelancongan sendiri pun banyak berkongsi dengan kita mengenai perkembangan industri sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Hotel Grand Renai di sini pada Ahad.

Beliau meluangkan masa dua jam bersama penggiat industri pelancongan negeri Kelantan bagi mendengar masalah yang dihadapi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Iklan

Turut hadir, Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Kelantan Mohd Aidil Afizi Daud.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, penggiat industri yang hadir turut mencadangkan sektor pelancongan dianggap sebagai frontliners dan mereka turut memohon diberikan perhatian istimewa dalam program vaksinasi.

Sementara itu, Datuk Md Anizam Abdul Rahman turut memberitahu, dengan kelonggaran rentas daerah yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin untuk memulihkan kembali sektor pelancongan dalam negeri.

Katanya, rakyat dan penggiat industri perlu peka dengan keselamatan dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 di Kelantan dapat dikawal dengan baik.