SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim supaya menghormati keputusan dibuat Dewan Rakyat yang meluluskan Rang Undang-Undang pelaksanaan undi 18 tahun.
Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, ini kerana keputusan untuk meluluskan perkara itu telahpun melalui perbahasan dan perbincangan yang melibatkan kesemua pemimpin politik kerajaan dan juga pembangkang pada waktu tersebut.
"Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Semua saya jumpa. Semua setuju dan beri komitmen parti masing-masing untuk sokong.
"Komitmen ini juga diterjemah di dalam perbahasan dan undian Dewan Rakyat. Memang undi 18 telah mendapat sokongan majoriti besar di dalam Dewan Rakyat.
"Jadi, apabila Yang Dipertua Dewan Negara keluar kenyataan kata ‘undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini’, saya rasa tidak adil dan tidak menghormati keputusan demokrasi negara,” katanya dalam satu kenyataan di blog rasminya pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: SPR tentukan masa sesuai laksana pengundi 18 tahun
Pada Rabu, Rais memaklumkan kelayakan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Rais mendakwa, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar undi 18 kerana negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, alasan yang diberikan oleh Rais dalam hal tersebut juga juga dilihat tidak berasas dan tidak lagi relevan pada masa kini.
"Macam mana boleh kata undi 18 ini tak praktikal?
"Macam mana boleh kata perlaksanaan undi 18 tidak lagi bersedia sebab Suruhanjaya Pilihan Raya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) sudah beri komitmen undi 18 dilaksana selewat-lewatnya pada Julai 2021?
"Hormatlah keputusan Dewan Rakyat. Jangan cuba bawa naratif lapuk- ‘Undi 18 tak praktikal’, ‘Orang muda tak boleh memilih masa hadapan negara’ dan macam-macam lagi,” katanya.