SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan defisit demokrasi negara kini perlu dibendung bagi menjadikan ia lebih baik dan unggul dalam menguruskan amalan demokratik.
Beliau berkata, perkara yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa demokrasi negara semakin menyusut dan merosot.
Menurutnya, negara semakin mundur dari segi kualiti kepimpinan melalui ahli Parlimen yang bertindak mengikut tujuan peribadi dan tidak mengikut prinsip serta nilai.
"Demokrasi Malaysia seharusnya lebih kukuh dan lebih baik dari sebelumnya. Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa demokrasi kita semakin menyusut dan merosot.
"Malaysia pasca moden sewajarnya boleh menjadi teladan kepada negara membangun lain tentang bagaimana demokrasi kita itu berevolusi dalam sistem demokrasi yang sarat dengan kearifan tempatan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam masa sama, Mohamad berkata, kebebasan bersuara dan berekspresi juga semakin mengecil dengan pelbagai ordinan yang bertindak sebagai menanam ketakutan berbanding menjalankan tanggungjawab.
Beliau berkata, Parlimen yang digantung dan perlembagaan dilumpuhkan menyebabkan kesusutan nilai demokrasi yang dibimbangi.
"Membiarkan potensi Malaysia dalam kedudukan sepertinya sekarang adalah sangat mendukacitakan. Kepada semua rakyat, kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memperbaiki kedudukan demokrasi ini.
"Sama ada kita seorang menteri Kabinet atau penjawat awam atau ahli politik pembangkang atau kumpulan masyarakat sivil mahupun hanya orang biasa, marilah kita mengembalikan amalan demokrasi di Malaysia ke tahap dan kedudukan lebih baik,” katanya.
Katanya, negara merupakan tanah air buat semua penduduk dan bukan menjadi hak milik peribadi malahan tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati.
"Marilah kita memperbaiki demokrasi di Malaysia ini tanpa lelah. Lakukan apa jua yang termampu, agar akhirnya dengan usaha kolektif semua, demokrasi di Malaysia akan menjadi lebih baik dan lebih maju,” katanya.