Kes bunuh Bangsar: Pegawai polis tular di lokasi kejadian tidak bertugas

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis yang didakwa berada di sekitar lokasi kes bunuh di Jalan Telawi 2, Bangsar pada Sabtu selepas video kejadian gaduh di kawasan itu tular disahkan berada di luar waktu bertugas ketika itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, inspektor berusia 27 tahun yang merupakan pegawai penyiasat jenayah Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mengaku berada di lokasi kejadian, namun dia tidak membawa sebarang senjata api bersamanya kerana tidak bekerja dan dalam kelepasan tugas.

Iklan
Iklan

"Hasil temu bual, pegawai itu memaklumkan dia telah pergi ke Bangsar bersama rakannya untuk makan malam dari rumahnya di Subang Jaya. Semasa kejadian, dia bersama kawannya dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu.

"Semasa hendak membuat laporan berhubung kejadian itu, dia mendapati kenderaan polis telah sampai di tempat kejadian dan dia terus pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Anuar berkata, video tular itu turut dirakam oleh rakan kepada pegawai polis berkenaan.

Media melaporkan seorang individu dipercayai anggota polis yang dirakam dalam video tular itu didakwa hanya melihat tanpa melaporkan satu kejadian pergaduhan yang berlaku jam 1 pagi yang mengakibatkan seorang maut, manakala seorang lagi cedera parah.

Iklan

Seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditahan di Selayang Batu Caves pada Ahad bagi membantu siasatan kes berkenaan dan polis masih mengesan beberapa suspek yang telah dikenal pasti. - Bernama