PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengadakan satu program praperlumbaan dari 22 hingga 26 Mei ini di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.
Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor berkata, ia bagi membolehkan pelumba basikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan rakannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom dapat menyesuaikan diri dengan suasana sebenar pertandingan itu.
Beliau berkata, hasil perbincangan bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), program praperlumbaan itu juga bagi membolehkan pelumba menyesuaikan diri mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kriteria ditetapkan ketika pandemik COVID-19.
"Dengan langkah diambil ini, kita berharap atlet negara mampu melakar kejayaan sekali gus menghadiahkan pingat untuk negara pada Sukan Olimpik nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran syarikat penghantar TAPAW.COM di Melaka pada Ahad.
Dalam pada itu, Ashakari berkata, pihaknya dimaklumkan Azizulhasni dijangka pulang ke tanah air pada 5 Mei depan.
Katanya, pelumba pecut nombor satu dunia itu juga sedang menjalani pemantauan serius dan latihan yang sangat padat di bawah kendalian jurulatih berbasikal trek negara John Beasley di Melbourne, Australia bagi mengekalkan prestasi dan momentum menjelang temasya itu.
Jaguh berbasikal negara yang juga terkenal dengan jolokan"The Pocket Rocketman” itu layak ke Olimpik Tokyo melalui acara kegemarannya iaitu keirin serta acara pecut individu manakala Muhammad Shah Firdaus bagi acara pecut.
Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan. - Bernama