Malaysia tak maju jika politik dikuasai rasuah

Iklan

SHAH ALAM - Malaysia tidak akan maju sekiranya gelanggang politik masih dikuasai dengan isu rasuah.

Felo Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Datuk Ahmad Nazim Rahman berkata, sekiranya rasuah dijadikan amalan dalam kehidupan harian, ia akan mengakibatkan berlakunya hilang kepercayaan antara rakyat terhadap kerajaan dan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang mana rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan lagi menjadi modal politik. Sebab itu politik perlukan idea dan tawaran dasar yang terbaik kepada rakyat dan bukannya parti mana yang lebih rasuah atau parti mana yang kurang rasuah.

"Itu yang sepatutnya menjadi wacana politik kita pada hari ini. Jadi sampai bila kita hendak maju ke depan kalau gelanggang politik kita masih dikuasai dengan isu-isu rasuah padahal ada isu yang lebih mendesak melibatkan tawaran terbaik kepada rakyat, bagaimana dasar ekonomi yang terbaik dan sebagainya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Rasuah Sudah Menjadi Budaya?' anjuran Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook ACCIN pada Sabtu.

Forum berkenaan turut menampilkan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anwar Ismail sebagai panel manakala Ketua Pegawai ACCIN, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin sebagai moderator.

Iklan

Ahmad Nazim yang juga kolumnis The Edge berkata, kepercayaan adalah teras penting yang mengikat kerajaan dan rakyat.

"Sejauh mana rakyat bersedia untuk patuh kepada undang-undang dan kuasa negara, selain kesediaan rakyat membayar cukai dengan rela bergantung dengan sejauh mana rakyat percaya kepada kerajaan.

"Tanpa kepercayaan, negara akan jadi kacau bilau dan rakyat hilang hormat kepada undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, rasuah politik sudah menjadi norma biasa dalam amalan politik di Malaysia.

"Ia sudah biasa kerana kita mengabsahkannya dengan menggunakan terma dana politik.

"Dana politik yang diterima sebagai timbal balas kepada pemberian kontrak, permit dan lesen dengan menggunakan pengaruh politik.

"Sejauh mana adanya iltizam politik untuk membanteras rasuah, maka perkara yang perlu diberi tumpuan adalah perkara berkaitan dengan rasuah politik,” katanya.