Wahai YB, bukan ini yang kami mahu

Iklan

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng dalam nada yang marah dan menyindir pada Ahad menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen dipilih oleh pengundi.

Oleh yang demikian mereka tidak harus dijual beli bagaikan daging lembu.

Iklan
Iklan

Amat jelas sekali beliau sedang merujuk kepada insiden ahli-ahli Yang Berhormat (YB) yang melompat parti yang sedang ligat berlaku sekarang.

Beliau juga dengan tegas mengulangi kenyataannya bahawa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi serta mandat rakyat.

Iklan

Beliau bertanya;"Adakah politik macam ini yang kita mahu?"

Untuk makluman Guan Eng, jawapan rakyat jelata ialah;"Tidak!Tidak!Tidak! Bukan ini yang kami mahu.”Masalah dihadapi oleh rakyat jelata ialah, YB seperti Guan Eng, bertanya soalan yang sudah jelas dan nyata.

Iklan

Malah jawapan-jawapan kepada persoalan yang beliau sendiri timbulkan seharusnya dijawab oleh dirinya sendiri.

Orang seperti Guan Eng dan YB-YB yang menduduki kerusi empuk Dewan Rakyat yang sepatutnya berusaha dan berlaku adil ke atas diri mereka sendiri dengan meminda perlembagaan dan memperkenalkan undang-undang antilompat parti.

Kami rakyat jelata yang mundar-mandir di kaki lima tidak berupaya berbuat demikian kerana kami bukan ahli-ahli yang berhormat. Kami telah memilih orang seperti Guan Eng untuk membuat kerja ini kerana mereka adalah penggubal dan pembuat undang-undang. Bukan kami, rakyat jelata.

Apa yang Guan Eng dan wakil-wakil rakyat yang lain seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari PKR dan lain-lain lakukan sejak beberapa hari lalu adalah ibarat menyalak bukit.

Salaklah macamanapun, bukit tidak akan runtuh selagi YB-YB sekalian tidak ada iltizam politik untuk meminda perlembagaan menghalang rakan-rakan YB daripada melompat parti.

Buat masa ini, apa yang mereka lakukan adalah sah di sisi undang-undang yang YB-YB semua luluskan di dewan yang mulia itu. Jadi kenapa menyalak ke atas sesuatu yang sah di sisi undang-undang.

Samalah juga dengan pembentukan apa yang YB Guan Eng sebut sebagai kerajaan pintu belakang.

Kerajaan itu juga dibentuk menerusi undang-undang dan perlembagaan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jadi sekali lagi kenapa menyalak kepada sesuatu yang sah di sisi undang-undang?

Jika merasakan ia tidak adil, maka berusahalah dan beriltizamlah untuk meminda semua undang-undang ini di dalam dewan.

Jika undang-undang menyatakan ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan maka tunggulah sehingga saat itu tiba untuk berbuat demikian.

Dan sehingga saat itu tiba, YB-YB semua sewajarnya berdiam diri daripada bertindak menyalak bukit kerana itu adalah tindakan yang sia-sia.

Sebaliknya telinga sakit, bukit tidak juga runtuh!

Jika undang-undang menyatakan ia memerlukan majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan maka tunggulah sehingga saat itu tiba untuk berbuat demikian.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian