SHAH ALAM - Keputusan melaksanakan hak pengundi 18 tahun tertakluk kepada kesediaan pihak kerajaan dalam melaksanakan perkara berkenaan.
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, persediaan dari aspek pendidikan wajar ditekankan bagi memastikan golongan belia diberikan pendedahan agar celik politik.
Iklan
Iklan
"Saya rasa dari segi prinsipnya perkara ini tidak boleh dipastikan lagi sebab ia telah sebulat suara oleh semua ahli Parlimen sewaktu ia mula-mula dibentangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada waktu tersebut.
"Jadi tidak ada masalah dalam hasrat melaksanakan undian 18 tahun tersebut. Cuma yang menjadi masalah ialah kesediaan kerajaan untuk melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Kamarul Zaman memaklumkan tidak banyak perkembangan yang berlaku dengan persediaan tersebut.
"Mungkin disebabkan tertubuhnya kerajaan baharu atau isu pandemik Covid-19. Jadi persoalan sama ada wajar atau tidak, itu saya rasa tidak ada mana-mana parti yang mempertikai,” katanya.Justeru, beliau menggesa agar usaha yang serius dan berkesinambungan perlu dijalankan bagi memastikan had undi 18 tahun dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Jika tidak, sudah pastilah golongan belia ini akan merasa kecewa seolah-olah mereka ditipu. Seolah-olah kerajaan mengabaikan hak mereka untuk mengundi sedangkan sewaktu ia diluluskan semua pihak menyokong,” katanya.