Tuneboss-Pink Racing Team melakar sejarah baharu dalam dunia permotoran tanah air apabila bakal membuat penampilan sulung pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.
Lebih istimewa, Pink Racing dimiliki sepenuhnya wanita muda berusia 25 tahun, Nur Atikah Azwar atau lebih dikenali sebagai Rider Helmet Pink.
Menurut Nur Atikah, Pink Racing mempertaruhkan pelumba wanita, Alia Saarizan yang bersaing dalam kategori Wira manakala Harith Baharin dan seorang lagi pelumba wanita, Fifi Muhamad berentap bagi kelas CP125.
"Secara umumnya, penampilan sulung Pink Racing pada Kejuaraan Cub Prix kali ini bertujuan untuk menimba ilmu sebanyak yang boleh daripada pasukan-pasukan lebih senior.
"Sudah pasti kami tidak pernah bersaing dengan pasukan berkenaan sebelum ini dan diharapkan kami dapat menimba ilmu yang cukup berguna daripada mereka,” katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Pink Racing di Shah Alam pada Ahad.
Tanpa sebarang sasaran khusus di pentas Cub Prix musim ini, Nur Atikah berkata, Pink Racing menyasarkan menarik lebih ramai pelumba wanita bagi menyertai pasukan berkenaan pada masa hadapan.
Nur Atikah berkata, sasaran itu dibuat dalam usahanya memberikan peluang kepada kaum wanita yang berminat dalam sukan permotoran selain mahu menyertai perlumbaan secara kompetitif.
"Ini merupakan salah satu perancangan jangka panjang saya kerana kita tahu ada ramai wanita di luar sana yang berminat dalam bidang permotoran ini. Namun, mereka tidak mengetahui platform mana untuk menunjukkan minat mereka itu.
"Pada masa sama, kami juga membuka peluang kepada pelumba lelaki untuk menyertai pasukan Pink Racing ini... tak semestinya semua pelumba wanita,” katanya.
Sementara itu, Fifi yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai kategori perlumbaan Siri Super Malaysia (MSS) dan Cub Prix menyasarkan meraih sebanyak mata yang boleh.
"Saya di tahun pertama untuk (kelas) CP125, sandaran saya tidak tinggi tetapi saya berharap boleh mengumpul mata di setiap pusingan," katanya.
Dengan menggunakan jentera Yamaha Legenda, Pink Racing turut bakal membuat penampilan pada Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 dan Drag Racing.
Kejuaraan Cub Prix 2021 yang dijadualkan berlangsung sebanyak 10 pusingan bakal membuka tirai secara rasmi di Litar Antarabangsa Sepang mulai 20 Mac ini.