Pahang sedia ujian mamogram percuma

Iklan
Wan Rosdy (tiga dari kanan) menyerahkan peruntukkan bagi Program Cakna Suri sempena majlis pelancaran program itu di Sungai Koyan di sini pada Ahad. - Foto: UKOMP

LIPIS - Kerajaan negeri Pahang menyediakan perkhidmatan ujian mamogram percuma kepada 6,000 wanita dalam kalangan B40 di negeri ini melalui Program Cakna Suri yang dilancarkan pada Ahad.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM1.5 juta peruntukkan disediakan bagi tujuan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ujian ini membolehkan golongan wanita membuat saringan awal bagi mengesan kanser payudara.

Iklan

"Ia terbukti berkesan untuk menyelamatkan nyawa, terutamanya bagi golongan wanita berumur 50 tahun dan ke atas yang tidak menunjukkan sebarang gejala kanser payudara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Cakna Suri dan Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang kepada Iman Masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Sungai Koyan di sini pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kriteria pemohon bagi mendapatkan ujian mamogram percuma Negeri Pahang ialah mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas serta warganegara Malaysia (rakyat negeri Pahang).

"Bagi bukan anak Pahang (warganegara Malaysia) yang telah menetap lebih 10 tahun di negeri ini juga layak mendapatkan kemudahan itu.

"Selain itu, pemohon adalah dalam kalangan kumpulan B40 dengan berpendapatan bulanan isi rumah bawah RM4,850," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 1,032 imam kariah di negeri ini menerima bantuan perihatin RM750 seorang seperti yang diumumkan kerajaan negeri batu-baru ini.

Wan Rosdy berkata, daripada senarai itu, 22 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai menerima bayaran masing-masing pada majlis penyerahan pada Ahad.