BANGKOK - Sekurang-kurangnya 38 penunjuk perasaan terbunuh dan kira-kira 80 yang lain cedera di seluruh Myanmar pada Ahad ketika pasukan keselamatan bertindak terhadap tunjuk perasaan antikudeta yang masih berterusan, kata Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), lapor Sputnik.
Demonstrasi terbesar diadakan di Yangon, Mandalay, Bago dan Hpakan, menurut kenyataan AAPP di Facebook.
Iklan
Iklan
Angka kematian kini meningkat kepada 126 orang sejak protes tercetus pada awal Februari. Sekurang-kurangnya 2,156 penunjuk perasaan ditangkap dan didakwa dengan pelbagai jenayah, tidak termasuk mereka yang ditahan tetapi tidak didakwa.
Sementara itu, dua pegawai keselamatan terbunuh di Yangon, apabila penunjuk perasaan bertindak ganas, menurut saluran televisyen MRTV yang dikendalikan tentera Myanmar.
Pada 1 Februari lalu, tentera Myanmar menggulingkan pemerintah awam dan mengisytiharkan perintah darurat selama setahun. Tentera menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint atas tuduhan penipuan pilihan raya, dan melanggar sekatan Covid-19.
Protes besar-besaran menentang pemerintahan tentera berlanjutan selama enam minggu di Myanmar. Lebih 70 peratus kakitangan kerajaan turut menyertai protes itu.
Ketegangan antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan terus meningkat apabila polis beralih kepada taktik lebih kejam. Selain penyembur air dan gas pemedih mata, pada akhir Februari polis mula menggunakan senjata tempur. - Bernama