TEMERLOH -"Cucu saya bersungguh-sungguh mengajak bapa saudaranya untuk mandi di sungai itu semalam," kata Nor Azmi Ibrahim, 55, bapa kepada remaja, Mohd Hakim Faqih,16 yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Loyang Sanggang, Ahad.
Nor Azmi memberitahu, anak bongsu daripada lima beradik itu sebenarnya sudah bersedia untuk latihan bola sepak bersama rakan-rakannya pada hari kejadian.
Menurut Nor Azmi, anaknya yang mesra dengan panggilan Adik memberitahunya untuk keluar menemani anak saudara, Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul dan rakan lain ke sungai tersebut.
"Semalam dia bersungguh-sungguh mengajak kami makan beramai-ramai," katanya pada Sinar Harian, Isnin.
Katanya, dia mendapat panggilan daripada salah seorang anaknya, Maszulaikha,19, yang turut bersama ke sungai itu.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Mohd Hakim Faqih Nor Azmi,16, dari Kampung Desa Murni dan anak saudaranya, Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, dari Kampung Loyang Sanggang di sini dikatakan pergi ke sungai itu untuk mandi.
Bagaimanapun, Mohd Hakim yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh itu masih belum ditemui manakala mayat Mohd Naufal ditemui kira-kira jam 10.33 pagi, Isnin kira-kira 35 meter dari tempat kejadian.
Ujar Nor Azmi lagi, anaknya seorang yang baik, ceria, suka tersenyum dan rapat dengan anak-anak saudara termasuk Mohd Naufal.
"Saya bersyukur kerana mayat cucu telah ditemui dan berharap anak juga dapat ditemukan segera. Saya reda dengan ujian ALLAH kepada kami sekeluarga," katanya lagi Mohd Hakim seorang yang aktif bersukan.
Sementara itu ibu kepada Mohd Naufal, Nor Fariza Mat Rudin, 30, memberitahu, dia sedang berpantang 12 hari selepas melahirkan kembar lelaki.
Menurutnya, dia keluar dari hospital sebaik mengetahui insiden yang menimpa anak kedua daripada empat beradik itu.
"Kali terakhir saya berjumpa Mohd Naufal empat hari lalu kerana berada di hospital apabila anak kembarnya itu mengalami demam kuning.
"Anak saya seorang yang manja dan sangat rapat dengan bapa saudaranya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Lelaki, anak sedara dikhuatiri lemas