Kerjasama UMNO-PKR: Anwar bermimpi di siang hari

Iklan
Anwar dan Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU - Dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Sri Anwar Ibrahim bahawa parti itu kini sedang merintis persefahaman bersama UMNO adalah mimpi di siang hari.

Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara tersebut tidak akan menjadi kenyataan dan ketetapan 'No Anwar No DAP' tetap akan terus menjadi pegangan semua peringkat UMNO.

Iklan
Iklan

"Ini tidak akan berubah. Cukuplah dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang telah banyak merugikan rakyat.

"Ketetapan ini bukan sahaja daripada kepimpinan tertinggi parti namun yang lebih penting suara hati sebenar ahli di peringkat akar umbi," katanya mengulas kenyataan Anwar itu dalam satu wawancara pada Ahad.

Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang itu berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pengusaha ikan hiasan, Muhd Hasif Abdul Rahim di Kampung Paya Mas, Simpang Renggam dekat sini pada Isnin.

Onn Hafiz mengingatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu supaya tidak mengelirukan rakyat khususnya ahli UMNO kerana semua sudah tahu permainan beliau terutama ketika terdesak dan kehilangan sokongan ahli parti PKR sendiri.

Iklan

"Kami di peringkat akar umbi tidak mudah percaya terhadap permainan ini kerana sudah masak dengan cara beliau berpolitik terutama memperdayakan rakyat. Ketetapan ini harus dibuat semasa perhimpunan agung UMNO bulan ini," katanya.

Menurut Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor itu juga, Anwar ini hanya mahu menarik perhatian umum terhadap dirinya yang sudah kehilangan kepercayaan bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi parti namun juga ahli akar umbi PKR.

"Sudah jelas lagi bersuluh tidak ada perjanjian persefahaman dengan pemimpin parti itu dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya itu hanya sebagai syok sendiri.

"Tidak akan ada persefahaman antara UMNO dan PKR kerana kami akan terus kukuh dengan prinsip 'No Anwar No DAP," katanya.