PUTRAJAYA - Sebanyak 86 program membabitkan nilai RM5.15 bilion akan dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program tersebut merangkumi pembiayaan, moratorium, kapasiti, latihan, pendigitalan dan akses kepada pasaran yang memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan di pelbagai peringkat dan latar belakang.
Menurutnya, kesemua program itu termasuk dalam Perancangan Strategik 2021 kementerian dirangka berdasarkan pendekatan hala tuju 5E dengan penglibatan semua bahagian dan agensi.
"Sumber kewangan bagi program ini adalah pelbagai dan MEDAC merupakan pelaksananya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan dan Pencapaian Satu Tahun Malaysia Prihatin peringkat kementerian di sini, pada Isnin.
Pendekatan 5E itu ialah membudayakan, mengaktifkan, memperkasakan, penjanaan tenaga dan penglibatan yang menjadi hala tuju untuk menyokong keseluruhan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif.
"Ia seterusnya memacu agenda pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dan progresif," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata, persekitaran yang kondusif perlu diwujudkan dalam usaha untuk memperkasakan Gerakan Koperasi bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
"Untuk tujuan ini, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) telah dibangunkan dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.
"Saya percaya strategi dan inisiatif yang digariskan melalui TransKoM berupaya merejuvenasi Gerakan Koperasi untuk lebih progresif dan berdaya saing," katanya.
Tambahnya, dalam menyokong pembaharuan yang dibawa melalui TransKoM, Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 juga telah diluluskan dan mula berkuatkuasa pada 1 Mac lalu.
"Oleh itu, semua warga koperasi diharap sentiasa bersedia dan terbuka untuk melaksanakan transformasi ini," katanya.
Pada majlis tersebut, Wan Junaidi yakin MEDAC dapat melahirkan 100 jutawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini.
"Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dan SME Corporation telah mengenalpasti individu yang berpotensi.
"Kita akan membantu semua aspek bukan sekadar pemasaran dalam negara bahkan ke peringkat antarabangsa.
"MEDAC juga akan membimbing mereka untuk mendapatkan sijil halal supaya dapat menembusi pasaran negara-negara Islam," katanya.
Menyorot pencapaian setahun mengepalai MEDAC, beliau berpuas hati dengan prestasi kakitangan dan agensi di bawah kementeriannya seperti Tekun Nasional, SME Corp, Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN), Bank Rakyat dan SME Bank.
"Sebagai contoh, SME Corp melaporkan pertumbuhan 90 peratus dalam kelulusan pembiayaan tahun lalu kepada RM87.6 juta yang melibatkan 9,247 PKS berbanding dengan RM46.1 juta dan 1.326 PKS pada tahun sebelumnya.
"Tekun Nasional melaporkan peningkatan 55 peratus dalam pembiayaan kepada RM655.41 juta melibatkan 33,365 penerima, berbanding RM423.6 juta yang melibatkan 20,675 penerima pada tahun 2019," katanya.