Tolak calon PRU15 ada rekod buruk moral, integriti

Iklan
Hanafi Zulkapli

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor bertegas tidak akan teragak-agak menolak mana-mana calon yang mempunyai rekod buruk sama ada dari segi moral atau integriti pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, ia bagi mengembalikan kesejahteraan negara dengan memastikan pemimpin yang dilahirkan dalam kalangan mereka berakhlak dan mempunyai kemahiran selayaknya.

Iklan
Iklan

"Anak muda menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mempunyai masalah moral seperti minum arak, kaki perempuan, rasuah dan apa sahaja yang mencalarkan integriti sebagai seorang pemimpin.

"Amat memalukan jika mereka yang mempunyai masalah sebegini masih lagi mahu menjadi pemimpin bagi negara Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Hanafi turut menegaskan untuk memperbaiki politik tanah air mestilah bermula dengan jati diri pemimpin negara yang dipilih memenuhi kriteria integriti dan mempunyai moral baik di sisi agama serta perundangan negara.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor berkata, mana-mana individu terpalit dengan kes salah laku dan mempunyai masalah moral adalah tidak layak diangkat sebagai pemimpin negara.

Iklan

"Ini kerana ia akan memberikan impak negatif pada imej dan urus tadbir yang bakal dikendalikan.

"Masa hadapan negara dan anak muda tidak boleh diperjudikan dengan lantikan calon kepimpinan yang mempunyai masalah moral dan integriti kerana rakyat akan mengikut rentak kehidupan pemimpin mereka,” katanya.

Jelasnya, jika rosak seseorang pemimpin tersebut, maka akan rosaklah rakyat yang berada di bawah tanggungjawab pentadbirannya.

"Beringatlah wahai semua pemimpin! Negara ini bukan milik ahli politik. Negara ini amanah atas kalian untuk urus tadbir demi kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat,” katanya.