Lelaki dikejar polis sejauh 70km kena penjara, denda

Iklan

MARAN - Perbuatan seorang penganggur yang 'memaksa' polis mengejarnya sejauh lebih 70 kilometer (km) Khamis lalu membawa padah, selepas Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadapnya selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas penjawat awam.

Majistret Nur Syafiqah Noorinda memerintahkan Mohamad Asyraf Haniff Ramlee, 25, yang beralamat di Felda Ulu Jempol di sini, dihukum penjara 24 bulan dan denda RM5,000 atau jika gagal dibayar, 10 bulan penjara, selain lesen memandu digantung dua tahun kerana memandu secara melulu serta merbahaya.

Iklan
Iklan

Bagi kesalahan menghalang tugas anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan Koperal D.Kalaiselvan, tertuduh yang bertubuh kecil itu dipenjarakan selama 20 bulan manakala untuk kesalahan melanggar sebuah kereta akibat cuai, tertuduh dihukum penjara tiga bulan.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 4.30 petang, 11 Mac lalu di jalan besar simpang lampu isyarat Plaza Tol Maran di sini, dengan hukuman penjara diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa cuba melarikan diri menggunakan kenderaan Honda Odyssey, selepas Kalaiselvan mengarahkannya untuk berhenti di Jalan Tanah Putih, Kuantan kerana menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu, selain nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.

Bagaimanapun, tertuduh dikatakan enggan berhenti dan terus memecut ke arah Jalan Gambang-Kuantan, menyebabkan Kalaiselvan meminta bantuan daripada IPD Kuantan yang kemudiannya menghantar kereta peronda (MPV), untuk turut mengejar kereta tertuduh yang menghala ke Maran.

Iklan

Ketika itu, kereta tertuduh telah melanggar sebuah kereta Toyota dipandu seorang lelaki selain turut membuat pusingan U secara berbahaya, selepas menyedari polis IPD Maran telah membuat penghalang di jalan utama ke plaza tol tersebut.

Tindakan tertuduh menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua tembakan ke tayar hadapan kiri kenderaan tertuduh, namun dia masih enggan berhenti dan terus melarikan diri ke arah Kuantan, dengan dikejar Kalaiselvan dan empat MPV polis.

Tertuduh akhirnya berjaya diberkas selepas keretanya terbabas berhampiran ladang kelapa sawit di Felda New Zealand di sini.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu supaya hukuman penjara terhadapnya berjalan serentak manakala Timbalan Pendakwa Raya Anasuha Atiqah Mat Saidi memohon hukuman setimpal diberikan.

"Semoga hukuman itu dapat memberi pengajaran kepada tertuduh untuk memberikan kerjasama kepada polis selepas ini, selain sebagai peringatan kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Pada prosiding itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki methamphetamine berat kasar 0.21 gram pada masa dan tempat sama, dengan mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula pada 26 April ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Lelaki nekad pandu 75 kilometer sebelum diberkas polis