PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak risau dengan prestasi yang dipamerkan pemainnya selepas terpaksa bergelut sebelum dapat mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, kemenangan merupakan perkara paling utama walaupun pasukannya hanya bernasib baik memperolehi gol kemenangan menerusi jaringan sendiri pertahanan West Ham United, Craig Dawson.
"Seperti yang saya jangka, mereka akan menyukarkan kami dengan corak permainan bertahan. Dalam 15 minit pertama mereka sangat selesa dan kami sukar untuk mencorakkan perlawanan.
"Namun, kami tetap konsisten sepanjang perlawanan dan akhirnya gol yang kami cari tiba walaupun menerusi gol sendiri pemain lawan. Kemenangan adalah lebih penting daripada sengalannya," katanya.
The Red Devils sememangnya tampil dominan dalam perlawanan tersebut apabila mencipta 15 percubaan ke pintu gol lawan dengan empat daripadanya diselamatkan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski.
Solskjaer juga mengakui West Ham United mempunyai misi besar untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dan menegaskan tindakkannya bermain dengan corak berhati-hati adalah wajar.
"Kami menciptakan peluang bernilai tetapi sentuhan terakhir di depan gawang tidak cukup bagus. Saya lihat kami mampu dapat dua atau tiga gol dengan mudah dalam perlawanan tersebut.
"Tetapi saya tetap gembira dengan pendekatan berhati-hati kami kerana West Ham sangat bagus dalam serangan balas. Kami akan jadi tidak bijak jika membenarkan mereka menjaringkan gol dengan serangan balas," katanya.