SERI KEMBANGAN - Air larut resapan (leachate) dari tapak pembuangan sampah haram di Taman Bukit Serdang Seksyen 5 di sini, disyaki menjadi punca beberapa kolam dan sungai kecil di sekitar kawasan berkenaan bertukar menjadi warna hitam sejak Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, air sampah terbabit turut menyebabkan saliran perparitan di Taman Puncak Jalil bertukar hitam dan berbau busuk.
Menurutnya, hasil maklumat penduduk Taman Puncak Jalil pihaknya menyerbu tapak pembuangan sampah itu bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Isnin.
"Penduduk dakwa air longkang di kawasan perumahan mereka bertukar warna dan hasil siasatan kita dapati air ini mengalir dari satu tapak pembuangan sampah haram di Taman Bukit Serdang.
"Air (leachate) ini mengalir melalui bawah Lebuhraya MEX hingga ke saliran perparitan di Taman Puncak Jalil,” katanya.
Ean Yong berkata, dua lot tanah dikenal pasti menjadi tapak pembuangan sampah haram terbabit.
Menurutnya, pemilik berdepan tindakan rampasan tanah kerana didapati membiarkan tanah milik mereka menjadi tempat pembuangan sampah.
"Hasil pemeriksaan bersama pihak MBSJ hari ini (Isnin), kita dapati tanah itu milik persendirian.
"Saya dah minta MBSJ kenal pasti siapa pemilik dan beri maklumat kepada pejabat tanah untuk proses rampasan tanah,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memberi amaran kepada pemilik tanah lain supaya tidak melakukan aktiviti tanpa kebenaran di tanah masing-masing.
"Bagi kes ini, pengendali tapak sampah ini dipercayai sewa tanah daripada pemiliknya.
"Saya beri amaran kepada pemilik tanah di sini (Seri Kembangan) supaya tidak lakukan aktiviti yang tiada kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) atau berdepan tindakan undang-undang,” katanya.