MAFI cadang insurans untuk industri pertanian, agromakanan

Iklan
Ronald (tengah) bersama wakil penerima Tabung Bencana Tanaman Padi bagi September dan Oktober tahun lepas di (PPK H-II, Jitra pada Isnin.

JITRA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mencadangkan skim insurans kepada penggiat industri pertanian dan agromakanan bagi mengatasi masalah petani yang sering terdedah kepada risiko pengeluaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan memandang serius masalah tersebut kerana golongan ini sentiasa terjejas punca pendapatan mereka disebabkan bencana alam saban tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, skim insurans adalah satu langkah penyelesaian jangka panjang yang dilihat mampu meringankan beban golongan berkenaan.

"MAFI telah memberi mandat kepada Agrobank untuk menerajui usaha membangunkan satu skim insuran bagi industri pertanian dan agromakanan.

Iklan

"Pada masa sama, kita juga mengalu-alukan pihak industri sendiri untuk menawarkan model dan polisi skim insuran pertanian yang bersesuaian," katanya pada sidang media selepas penyerahan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi bagi September dan Oktober tahun lepas di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) H-II, Jitra pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga terlibat dan mereka sedang menyediakan modul yang sesuai dengan kerjasama penggiat industri.

Iklan

"Dengan adanya skim insuran ini kekal, kerajaan yakin para petani akan berasa lebih tenang dan selesa di atas jaminan kelangsungan aktiviti ekonomi mereka.

"Perkara ini juga dapat mengurangkan risiko pendapatan yang dihadapi serta memastikan pengeluaran agromakanan negara tidak terjejas," katanya.

Tambahnya, langkah ini adalah juga seiring dengan inisiatif kerajaan pada masa ini yang bergerak ke arah pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dalam industri padi dan beras negara.

Sebelum itu, Ronald menyampaikan peruntukan melalui Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM2.19 juta untuk bencana yang berlaku pada bulan September dan Oktober 2020 di Kedah melibatkan tanaman padi seluas 1,278 hektar di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Peruntukan diberikan berdasarkan kepada tempoh usia pokok padi yang rosak akibat ditenggelami air.

Bagi pokok padi yang berusia satu sehingga 70 hari, kerajaan memperuntukkan bayaran RM876 per hektar sebagai bantuan manakala bagi pokok padi yang berusia 71 hari ke atas, bantuan diberikan sebanyak RM1,800 per hektar.