KUALA LUMPUR - China akan terus perkukuh kerjasama rapat mengenai vaksin Covid-19 dan membantu Malaysia pulih daripada pandemik dengan lebih cepat.
Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing berkata, kedua-dua negara telah bekerjasama sejak kemunculan pandemik pada awal 2020, dan kini kesempatan mengenai vaksin menjadi fokus kerjasama antipandemik China-Malaysia.
"Sekiranya usaha memerangi wabak ini adalah sebahagian kerjasama awal antipandemik, maka sebahagian lagi adalah kerjasama vaksin," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, di Kedutaan China, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Luar China Wang Yi ke Malaysia dan bertemu Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kesepakatan penting mengenai kerjasama vaksin sudah dicapai antara kedua-dua pihak, termasuk meletakkan Malaysia sebagai penerima utama vaksin China.
Pada 26 Jan, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) menandatangani perjanjian dengan Sinovac Lifesciences Co Ltd (Sinovac) China untuk mendapatkan bekalan CoronaVac sebanyak 12 juta dos untuk Malaysia.
Kumpulan pertama 200 liter CoronaVac tiba di Malaysia pada 27 Februari, disimpan di kemudahan Phamarniaga dan akan diproses menjadi 300,000 dos vaksin.
Vaksin tersebut dijangka tersedia pada akhir Mac atau awal April.
Awal bulan ini, Bernama juga melaporkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia mungkin pertimbang untuk vaksin Covid-19 CanSino satu dos keluaran CanSino Biologics Inc.
Menurut Ouyang, CanSino Biologics Inc. China akan membekalkan 3.5 juta dos vaksin kepada Duopharma Biotech Bhd.
Sementara itu, pada 27 Januari, Kementerian Kesihatan mengumumkan kerjasama dengan Akademi Sains Perubatan China (CAMS), Shenzhen Kangtai Biologic Products Co. Ltd dan pertubuhan lain bersama pihak Malaysia untuk memulakan fasa III ujian klinikal vaksin Covid-19 di Malaysia.
"Ujian klinikal fasa III berjalan lancar sekarang. Sebaik sahaja ujian klinikal selesai, Shenzhen Kangtai Biologic Products Co. Ltd akan memberi tidak kurang daripada 10 juta dos vaksin setiap tahun kepada Malaysia dalam tempoh lima tahun.
"Saya percaya vaksin China akan menyumbang kepada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia, dan memainkan peranan aktif dalam membantu rakyat Malaysia kembali ke kehidupan normal seperti sebelumnya,” katanya.
Ketika pandemik sedang memuncak tahun lalu, kerajaan China pada April telah menghantar pasukan pakar perubatan antipandemik untuk membantu Malaysia, mereka berkongsi pengalaman dan pengurusan pandemik.
"Kunjungan pasukan pakar itu adalah lambang dan manifestasi kerjasama antara kerajaan dan rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19," kata Ouyang.
Menurut Ouyang kedua-dua negara juga mengekalkan komunikasi dan koordinasi erat melalui pertukaran dua hala dan kerangka pelbagai hala termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ASEAN-China dan ASEAN + 3 (China, Jepun dan Korea Selatan).
Menurutnya, China dan Malaysia juga telah menunjukkan sokongan yang kuat dengan saling menyediakan bekalan perubatan, termasuk sarung tangan perubatan, kelengkapan perlindungan diri, alat ujian dan pernafasan ketika diperlukan.
Ouyang turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat China di Malaysia yang sama membantu Malaysia memerangi pandemik tahun lalu, dengan mengumpulkan dan menyumbangkan bekalan perubatan kepada yang memerlukan.
Ouyang menyifatkan kejayaan strategi republik di bawah pimpinan Presiden China Xi Jinping dan kerjasama rakyatnya yang pantas menggerakkan sumber daya, dan mengambil semua langkah termasuk kawalan pergerakan di Wuhan dan memberikan rawatan perubatan percuma, menyelamatkan nyawa.
"Seperti kata pepatah lama, kepentingan rakyat harus didahulukan berbanding kepentingan negara. CPC (parti pemerintah) dan kerajaan China sentiasa mengutamakan nyawa dan kesejahteraan rakyatnya.”
Setakat ini Malaysia telah memperoleh akses kepada bekalan vaksin Covid-19 melalui kemudahan COVAX, dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin, merangkumi vaksin dua dos dari Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) dan CanSinoBIO, dan vaksin satu dos Sputnik V dari Rusia.- Bernama