SHAH ALAM - Jabatan Kimia Malaysia pada Isnin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, tiada kesan dadah ditemui pada sampel urin, paru-paru dan otot Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Selain itu, Ahli Kimia Toksikologi, Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, B Govinda Raj berkata, pihaknya turut menjalankan analisis alkohol dan bahan meruap (volatile substances) terhadap sampel berkenaan.
Saksi ke-40 kes perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund berkata, kajian spesimen itu membabitkan penyelidikan kesan Etil Alkohol, dadah biasa dan bahan meruap.
"Saya terima tiga sampel itu daripada polis pada jam 10 pagi, 18 Jun 2018 lalu.
"Ia berlabel Nazrin Bin Hassan yang ditanda sebagai A, mengandungi satu botol kaca berisi spesimen urin, B berisi tisu paru-paru dan C otot psoas," katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Dalam pada itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam L S Leonard, yang mewakili Samirah Muzaffar, 46, dan dua anak lelaki masing-masing berusia 18 dan 15 tahun, Govinda Raj berkata, jabatan itu turut menerima 11 spesimen tanah kubur untuk dianalisa.
Leonard: Adakah pihak Encik ada menerima sampel toksikologi lain, bagi bedah siasat ke-2 ke atas Nazrin.
Govinda Raj: Sampel biologikal? Tidak, pada 29 Oktober 2018 kami hanya terima tanah atau pasir kubur.
Leonard: Apakah keputusannya?
Govinda Raj: Kita mendapati keputusan negatif bagi analisis dadah biasa dan racun makhluk perosak.
Mengulas lanjut, Leonard turut menyoal Govinda Raj berhubung isu kebarangkalian wujud dakwaan petrol mungkin dicurahkan ke lokasi kebakaran.
Govinda Raj berkata, ia hanya boleh dikesan menerusi analisa bahan kimia namun setakat ini, tiada sebarang cecair mudah terbakar ditemui.
Leonard: Adakah ia berkemungkinan cecair itu hilang sepenuhnya selepas terbakar?
Govinda Raj: Ada kemungkinan, tetapi jika lokasi kejadian terdedah kepada persekitaran bahan mudah terbakar, mudah meruap atau lokasi dibasuh, ia juga tidak akan dapat dikesan.
Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing pada berusia 18 dan 15 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Ashyraf Ashy'ari, Siti Rohaida Che Hamid dan Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala pembelaan diwakili Leonard, Rahmat Hazlan serta Savreena Kaur.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ab Karim bersambung esok.