KUALA LUMPUR - Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi yang dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin di Zon Rekreasi Keluarga Taman Persekutuan Bukit Kiara, di sini pada Sabtu bukan acara pacu ria seperti dakwaan yang tular di media sosial.
Jabatan Landskap Negara (JLN) dalam kenyataan menjelaskan, program itu tidak dibuka kepada orang awam dan bukan berbentuk kejohanan atau pertandingan dengan kehadiran penonton, sebaliknya pengunjung berbasikal hanya melibatkan 30 orang terdiri daripada kakitangan JLN dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
"Pengunjung berbasikal juga turut menjalankan aktiviti ploging bersesuaian dengan peranan agensi dalam pembersihan awam. Selain itu juga, pengunjung berbasikal telah dipastikan kesihatannya melalui imbasan suhu sebelum memasuki taman tersebut.
"Pelepasan basikal ini adalah bertujuan untuk mempromosikan amalan berbasikal norma baharu dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal, memastikan kebersihan diri dan tidak berkongsi peralatan serta sentiasa memastikan keselamatan ketika berbasikal," menurut kenyataan itu.
JLN memaklumkan pihaknya sentiasa merujuk dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aktiviti berkumpulan dilakukan secara setempat tanpa sentuhan fizikal dengan had kapasiti 50 peratus daripada kapasiti kawasan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan kawalan penyeliaan.
"Dalam program ini terdapat juga aktiviti senaman berlangsung yang mana penjarakan fizikal diadakan dengan menandakan jarak tiga meter setiap individu untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan kekal di tempat ditandakan untuk acara seterusnya.
"Tempoh untuk bersenam dan berkumpul juga dipendekkan bagi mengelakkan risiko jangkitan," menurut JLN.
JLN turut menjelaskan Taman Persekutuan Bukit Kiara adalah kawasan terbuka dengan keluasan lebih 400 ekar (161.87 hektar) dan semua yang hadir perlu menggunakan cecair pembasmi kuman disediakan sebelum bermulanya acara dan memakai pelitup muka semasa menghadiri acara ini.
Semalam (Ahad), tular beberapa gambar di media sosial yang mendakwa Zuraida melanggar SOP PKPB semasa program itu berlangsung. - Bernama