SERDANG - Naib Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ketika mula audio suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz tular lebih setahun lepas, beliau pernah menyatakan suara tersebut memang milik Ahli Parlimen Bachok.
Namun Ahli Parlimen Kulai itu berkata, dakwaan itu dinafikan pelbagai pihak termasuk Pas sendiri.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, akhirnya kebenaran terbukti selepas Nik Abduh sendiri mengakui perkara tersebut.
"Bila Nik Abduh mengaku terima duit itu, biar rakyat tahu dari mana mereka dapat dana sebegitu banyak semasa pilihan raya,"katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hala Tuju MOA di Maeps, di sini.
Menurutnya, selama 35 tahun dalam Pas sebelum menyertai Amanah, Pas mengumpul derma jihad dari orang-orang kampung, menjual telur ayam dan menjual harta untuk membantu menampung dana untuk pilihan raya.
"Tapi dalam Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) kita lihat mereka (Pas) mewah dan sebelum itu ada laporan ada duit yang masuk dari pihak UMNO.
"Kalau saya yang bercakap atau Amanah yang bercakap orang akan kata jahat tapi harini akhirnya mereka mengakui. Biar rakyat menilai apa yang berlaku,"katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai pengakuan yang dibuat Nik Abduh berhubung rakaman audio yang tular baru-baru ini.
Semalam, Nik Abduh membuat pengakuan bahawa rakaman audio yang tular sebelum ini adalah miliknya.
Nik Abduh turut mendedahkan beliau diminta oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menafikan perkara itu.
"Kalau dia dah mengaku duit itu, dan terima arahan daripada presiden perkara itu fitnah, saya rasa rakyat boleh menilai, kejap cakap lain kejap cakap lain.
Itu yang saya katakan Pas ni parti yang berpusing-pusing. Akhirnya rakyat akan melihat kebenaran,"katanya.
Tambah Salahuddin, beliau percaya kemewahan yang diperolehi Pas bukan dari mereka sendiri berdasarkan pengalamannya dengan parti tersebut.
"Saya dah banyak pengalaman dalam Pas. Kita tak buat macam ni dulu. Ketika dalam PRU kita dapat pungut derma dari rakyat. Kita syak banyak duit masuk dalam akaun tertentu. Mereka kelihatan mewah. Saya tak fikir duit sebanyak itu akan datang dari Pas sendiri," katanya.
Malah menurutnya akan ada banyak lagi perkara yang akan didedahkan daripada Pas sendiri, bukan dari orang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Saya diminta nafikan audio itu: Nik Abduh