GM Klang kembali jadi tumpuan ramai

Iklan
Tiga orang pelanggan sedang memilih kerongsang dan pin tudung di salah satu kedai pembekal yang terdapat di GM Klang.

SHAH ALAM- Pusat pemborong terkemuka, GM Klang menjadi tumpuan utama orang ramai untuk membuat persiapan sempena kedatangan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi Pusat Borong GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, GM Klang mempunyai 2,500 kedai pembekal yang menawarkan pelbagai produk popular sempena kehadiran bulan puasa dan raya seperti baju raya, karpet, langsir, kerepek, barangan dekorasi rumah dan lain-lain barangan di bawah satu bumbung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, GM Klang bukan sahaja menjadi tumpuan oleh orang ramai yang sibuk membuat persiapan raya, malah menjadi lokasi pilihan peniaga dan usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk menambah stok jualan perniagaan mereka ketika ini.

"Mengikut trend membeli-belah di mana aktiviti membeli barang persiapan raya kebiasaannya dilakukan ketika bulan puasa. Peniaga dan usahawan PKS mengambil peluang ini untuk merancakkan kembali aktiviti perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik.

Iklan

"Mereka mula menambah stok bisnes mereka dengan pelbagai pilihan di GM Klang untuk dijual semula sama ada di bazar, pasar, mahupun secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.

Norsuhaida berkata, kini banyak peniaga dan usahawan sudah mula mendapatkan stok-stok bisnes daripada pembekal di GM Klang sebagai persediaan perayaan yang bakal tiba.

Iklan

"Kami juga mendapati mereka mampu meningkatkan pembelian stok mereka disebabkan oleh insentif kerajaan yang diterima. Ia juga petanda yang positif kerana aktiviti perniagaan seperti ini mampu merancakkan kembali transaksi perniagaan dan ekonomi.

"Usahawan boleh mengambil stok di GM Klang dengan mengikut bajet yang mereka ada kerana pembekal di sini sentiasa boleh berunding untuk menawarkan harga borong yang minimum,” katanya.

Beliau berkata, pembekal di GM Klang juga menawarkan pelbagai peluang perniagaan seperti dropship dan ejen bagi mereka yang ingin berjinak dalam bidang perniagaan lebih-lebih lagi perniagaan secara online yang kini juga menjadi trend di kalangan masyarakat.

"Kami menjangkakan peningkatan pengunjung ke kompleks menjelang perayaan. Seiring untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), GM Klang komited untuk menyediakan persekitaran selamat untuk memberikan pengalaman membeli-belah yang selesa kepada pengunjung,” katanya.