Kedah mahu lembaga pelabuhan ditubuhkan di negeri itu: MB

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kedah akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Persekutuan agar ditubuhkan sebuah lembaga pelabuhan di negeri ini bagi mengurus dan mengawal selia pengangkutan laut, pelabuhan dan jeti yang ada di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan perkembangan ekonomi Kedah, terdapat keperluan untuk negeri ini memiliki lembaga pelabuhan yang berupaya menyelaraskan semua aktiviti berkaitan di perairannya.

Iklan
Iklan

"Saya bercadang untuk memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk mengadakan 'port authority' di Kedah kerana banyak pembangunan berkisar tentang pengangkutan laut, pelabuhan, jeti yang semua itu (ketika ini) di bawah kendalian Penang Port.

"Kalau ada fee (bayaran) yang dikutip, (ia) dikutip oleh Penang Port (yang bertindak) sebagai agensi yang mengawal pelabuhan-pelabuhan di utara semenanjung," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran filem 'The Puppet Master Trilogy' di sini malam Isnin.

Iklan

Menurutnya, penubuhan lembaga pelabuhan itu juga akan membolehkan pemantauan yang lebih berkesan dilakukan terhadap semua jeti yang ada di negeri ini, sekali gus dapat membendung aktiviti menyalahi undang-undang seperti penyeludupan.

"Kita boleh jalankan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dengan pengangkutan laut ini seperti Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia bagi memantau juga (kewujudan) jeti-jeti haram," katanya.

Iklan

Mengulas perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, jumlah kedatangan pelancong ke Langkawi semakin meningkat selepas kerajaan mengumumkan pertukaran status pulau itu daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat kepada PKP Pemulihan, bermula 10 Mac lepas.

Katanya, perkembangan itu telah memberi kelegaan kepada penduduk Langkawi khususnya penggiat industri pelancongan yang amat bergantung pada jumlah kedatangan pelancong.

"Kita sedang mempergiatkan usaha menarik pelancong, (ketika ini) rakyat kita tidak boleh ke luar negara, jadi mai (datang) ke Langkawi, ada banyak produk pelancongan di Langkawi," katanya. - Bernama