Penggunaan plastik sukar dielakkan

Iklan
Penggunaan plastik sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian. (Gambar kecil: Dr Marimuthu Nadason)

SHAH ALAM - Penggunaan plastik sukar dielakkan kerana ia telah menjadi suatu kebiasaan yang memudahkan kehidupan seharian dari peralatan makanan sehingga komponen peralatan elektrik dan kenderaan.

Presiden Gabungan Persatuan - persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, berdasarkan laporan World Wildlife Fund (WWF) pada tahun 2020, anggaran nilai penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia berjumlah 148,000 tan metrik.

Iklan
Iklan

"Malaysia juga merupakan pengimport utama sampah plastik iaitu kira-kira 870,000 tan metrik pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin sempena sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia (WCRD) disambut pada 15 Mac setiap tahun.

Beliau berkata, satu kajian menganggarkan bahawa Malaysia telah menghasilkan 0.94 juta tan sisa plastik yang tidak terurus.

Iklan

"Daripada jumlah tersebut, 0.14 hingga 0.37 juta tan mungkin telah masuk ke lautan.

"Keupayaan negara untuk mengatasi masalah sampah plastik telah melebihi tahap kemampuan. Hanya sembilan peratus sampah plastik yang dihasilkan dunia telah dikitar semula. Sebilangan besar sampah plastik tersebut berakhir di tapak pelupusan sampah, longkang atau persekitaran,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Presiden Consumers International berkata, kerajaan telah mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik termasuk mengenakan caj bagi beg plastik yang dijual di pasar raya dan kedai serbaneka.

"Bagi mengelakkan pengguna membayar caj tersebut, maka peruncit perlu menggalakkan pengguna untuk membeli beg kitar semula dengan harga yang berpatutan, yang boleh digunakan semula oleh pengguna,” katanya.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, Consumers International telah mengumumkan tema bagi Hari Hak-hak Pengguna Sedunia pada 15 Mac 2021 ialah 'Menangani Pencemaran Plastik'.

"Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan melibatkan pengguna di seluruh dunia untuk melakukan amalan yang lebih lestari.

"Malaysia juga telah membangunkan Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030: Ke Arah Masa Hadapan Yang Lestari. Visi Pelan Tindakan ini adalah menuju ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna supaya alam sekitar di Malaysia lebih bersih dan sihat menjelang 2030,” katanya.

Menurutnya, seterusnya visi Pelan Tindakan ini juga mengambil pendekatan berperingkat, berasaskan bukti secara holistik dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan untuk bersama-sama menangani pencemaran plastik sekali guna di Malaysia.

"Namun kesedaran mengenai usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah rendah. Dalam satu kajian, hanya 44 peratus rakyat Malaysia mengetahui mengenai Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna.

"Seterusnya hanya 64 peratus yang mengetahui larangan penggunaan penyedut minuman plastik oleh kerajaan. Secara amnya, hanya 56 peratus rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu plastik sekali guna,” katanya.

Katanya, plastik akan terus kekal kerana ia sudah menjadi kebiasaan dengan kehidupan seharian.

"Penggunaan plastik memang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan masyarakat tetapi bukan plastik sekali guna,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan, syarikat dan pengguna untuk bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam membanteras penggunaan plastik sekali guna.

"Ia adalah tanggungjawab semua pihak dalam menyelamatkan bumi untuk generasi akan datang,” katanya.