Top Glove didakwa gagal sediakan penginapan ikut standard

Iklan
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 24D(3) akta yang sama, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

IPOH - Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Selasa atas 10 pertuduhan gagal menyediakan penginapan mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), tahun lalu.

Top Glove Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut sebagai majikan telah menyediakan penginapan pekerja kepada pekerja asingnya yang tidak diperakukan dengan Perakuan Penginapan dari Ketua Pengarah Tenaga Kerja sepertimana kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang pada 26 November 2020.

Iklan

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 24D(3) akta yang sama, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar, manakala tertuduh diwakili peguam Chew Jee San.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Januari lalu, media melaporkan JTK Perak telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan di kawasan perumahan Tasek di sini yang didapati melanggar Akta 446.

Pengarahnya, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, kesalahan yang dikesan ketika operasi di syarikat sarung tangan berkenaan antaranya tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah pekerja yang menginap.

Operasi itu turut mendapati aspek kebersihan di tempat penginapan terbabit terabai dengan keadaan dalam rumah berselerak selain tempat penginapan terbabit tidak mempunyai surat perakuan penginapan dikeluarkan JTK.