SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggesa semua pihak yang terlibat dengan isu Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield USJ 25 menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Merujuk keputusan itu, Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya maklum keputusan penghakiman yang membatalkan saman untuk menghalang pemindahan kuil dari tapaknya.
Iklan
Iklan
"Justeru, kerajaan negeri gesa semua pihak yang terlibat hormat dan patuhi keputusan penghakiman bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang.
"Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman serta akan mengambil segala langkah perlu bagi menjamin kesentosaan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi dikemukakan 50 penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, terhadap pemaju, One City Development Sdn Bhd, bagi menghalang syarikat itu masuk ke tapak tanah dan meruntuhkan kuil.
Hakim, Datuk Wong Kian Kheong dalam penghakimannya turut menolak permohonan injunksi 50 plaintif itu untuk mendapatkan perintah penangguhan terhadap writ pemilikan oleh One City.
Kian Kheong dalam penghakimannya berkata, plaintif tidak boleh bersandarkan pada keputusan didakwa oleh Exco negeri kerana geran milik One City termasuk dalam Seksyen 89(a) Kanun Tanah Negara.