Roger Ng pulang selepas 1 Jun hadapi pertuduhan di Malaysia

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang diekstradisi ke New York akan pulang ke Malaysia selepas 1 Jun ini bagi menghadapi pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Tertuduh masih berada di New York dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) juga memaklumkan bahawa Ng akan pulang ke Malaysia selepas 1 Jun.

"Pihak pendakwaan akan mempertimbangkan untuk membuat pindaan dalam pertuduhan dihadapi tertuduh," kata Norinna yang turut memohon satu tarikh bagi sebutan semula kes.

Iklan

Ng, 48, berada di New York selepas diekstradisi untuk berdepan pertuduhan yang dikemukakan Jabatan Kehakiman AS berhubung skandal 1MDB. Ng telah diekstradisi ke AS pada Mei 2019.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng memberitahu mahkamah bahawa tarikh perbicaraan kes anak guamnya di AS masih belum ditetapkan.

Iklan

"Saya dimaklumkan perbicaraan akan bermula paling awal pada penghujung Jun atau Julai. Hal ini kerana mahkamah di AS yang tutup pada 1 Oktober tahun lepas, baru dibuka. Saya percaya kes lama akan didahulukan," katanya.

Mahkamah menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Disember 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pada 4 September tahun lepas, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$$6.5 bilion. - Bernama