Jota miliki kelas tersendiri

Iklan
Jota mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan berkenaan apabila menjaringkan gol pada lewat babak pertama.

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan Diogo Jota sebagai pemain yang memiliki kelas tersendiri berdasarkan kepada aksi yang dipersembahkan ketika berdepan Wolves di Stadium Molineux, pada awal pagi Selasa.

Katanya, biarpun sudah tidak beraksi selama tiga bulan lebih, tetapi penyerang kelahiran Portugal itu dlihat masih mampu beraksi dengan baik pada perlawanan berkenaan selain turut menjaringkan gol tunggal perlawanan yang juga gol kemenangan The Reds.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, Jota adalah pemain yang ada kelasnya yang tersendiri, dan masih mampu beraksi dengan cemerlang walaupun agak lama tidak beraksi.

"Situasi ini juga agak jarang berlaku, tetapi sejak dia kembali menyertai pasukan ia benar-benar berlaku dan ia ternyata membantu pasukan.

Iklan

"Ia lebih istimewa apabila dia turut menjaringkan gol yang cukup cantik pada ketika yang cukup sesuai iaitu pada saat-saat akhir sebelum tamat babak pertama,” katanya.

Jaringan Jota itu turut meng’hidup’kan kembali peluang Liverpool untuk mencabar kedudukan empat pasukan teratas (top four) Liga Perdana Inggeris (EPL).

Iklan

The Reds yang kini berada pada kedudukan keenam EPL dengan 46 mata hanya dibezakan dengan lima mata dengan pasukan di tangga keempat EPL ketika ini, West Ham.

Sementara itu, Klopp berharap tempoh rehat selama tiga minggu sehingga aksi berdepan Arsenal pada 4 April kelak, dapat dimanfaatkan kesebelasan The Reds bagi memantapkan pasukan berkenaan.

"Selepas perlawanan malam ini, kita akan berehat selama hampir tiga minggu sebelum kembali beraksi dalam saingan EPL.

"Semoga tempoh rehat ini akan dapat kita manfaatkan untuk kembali memenangi perlawanan,” katanya.