Realiti TV Juara Agrotek galak anak muda ceburi pertanian, penternakan

Iklan
Oh Yih Peng, Ayu Damit

PUTRAJAYA - Buat julung kalinya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalinkan kerjasama dengan industri kreatif bagi mengetengahkan bidang industri pertanian dan penternakan dalam bentuk rancangan realiti TV.

Timbalan Menteri Mafi II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pendekatan itu sebahagian daripada usaha menarik minat golongan muda dalam industri yang dianggap hanya sinonim dengan usia senja, sekali gus mempromosikan bidang tersebut sebagai satu bentuk kerjaya pilihan setanding kerjaya profesional lain.

Iklan
Iklan

"Melalui Rancangan Realiti TV Juara Agrotek ini mampu mencetus inspirasi buat anak muda terlibat dalam bidang ini dan dapat mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang ini bukan lagi bidang 3D: Dirty, Difficult dan Dangerous.

"Sebaliknya, dengan penggunaan teknologi, bidang ini mampu menjadi salah satu cabang kerjaya yang menjamin pulangan tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Rancangan Realiti TV Juara Agrotek, di sini pada Selasa.

Iklan

Juara Agrotek adalah rancangan realiti TV 13 episod berkonsepkan 'infotainment' melibatkan 12 peserta daripada pelbagai sub-sektor pertanian termasuk tanaman dan penternakan.

Ia dijangka ditayangkan pada Julai depan menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Iklan

Che Abdullah berkata, setiap peserta perlu melalui pelbagai tugasan yang mencabar antaranya, cara menternak ayam organik, lembu tenusu dan kambing; bertanam ubi kayu, cili, jagung serta lain-lain tanaman menggunakan teknologi-teknologi pertanian terkini.

"Ilmu yang diperolehi bukan sahaja bermanfaat kepada mereka tetapi kepada penonton di luar sana.

"Para peserta juga dapat meningkatkan ilmu usahawan mereka dan berpeluang mengembangkan potensi pertanian atau penternakan yang berbeza daripada apa yang sedang diusahakan sekarang," katanya.

Sementara itu, penyanyi terkenal Ayu Damit, 32, yang menjadi salah seorang peserta bagi program ini berkata, bidang pertanian wajar diterokai golongan muda kerana mempunyai potensi yang lumayan.

"Setiap anak muda perlu membuktikan bahawa mereka boleh mengusahakan tanaman atau ternakan sebelum memperolehi insentif kerajaan. Lebih banyak pulangan yang boleh diperolehi nanti," katanya.

Seorang lagi peserta program, yang juga pengusaha tanaman Rock Melon, Oh Yih Peng, 30, berkata, dia berhasrat mengusahakan tanaman cili pada masa akan datang.

"Bidang pertanian memang satu perniagaan. Saya gembira apabila ia mengeluarkan hasil,"katanya.