'Hari-hari make ike kering'

Iklan
Wan Mohd Bahari dan keluarga ketika menerima kunjungan Zulkepli, semalam.

MACHANG -"Ada masanya mereka bawa wang saku, adakalanya tidak berduit namun saya pastikan mereka tetap ke sekolah kerana tidak mahu mereka mewarisi kemiskinan ini. Hanya mereka harta yang saya ada," luah seorang bapa, Wan Mohd Bahari Wan Setapa ketika berkongsi tentang kesusahan hidupnya.

Wan Mohd Bahari, 44, berkata, sekalipun mereka hidup serba kekurangan namun dia berusaha memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan dalam pelajaran dengan memastikan mereka ke sekolah setiap hari.

Iklan
Iklan

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan terpaksa menumpang tinggal di rumah milik saudara di Kampung Berangan Mek Nab, di sini.

Tambahnya, dia melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah menebas, mesin rumput dan menjadi buruh binaan namun kerja tersebut tidak menentu.

Iklan

"Kalau ada orang minta saya buat kerja, saya lakukan pelbagai kerja namun adakalanya tak ada kerja langsung terutamanya pada musim tengkujuh ini. Apa yang ada, itulah yang kami makan.

"Boleh dikatakan, hari-hari kami makan ikan kering sebab tak mampu nak beli lauk lain.

Iklan

"Ikan kering pun mahal sekarang jadi kami terpaksa mengikat perut," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad di sini, petang semalam.