KUALA TERENGGANU- Seorang bapa ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menjadi orang tengah untuk aktiviti pelacuran.
Tertuduh, Mohd Azray Abdul Sani, 24, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasaraya di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan, Mohd Azray didakwa bertindak sebagai orang tengah kepada seorang gadis berusia 19 tahun dengan cara menolong mencari pelanggan bagi aktiviti persundalan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah hotel di bandaraya di sini, kira-kira jam 11.20 malam, pada 29 Januari lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi.
Sejurus pengakuan tidak salah itu direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Tertuduh bersama seorang lagi rakan yang masih bebas dipercayai menjadi orang tengah dan akan dibayar RM100 untuk setiap urus niaga.