PEMAIN Maybank, Joel Van Huizen akan menunggu penilaian kedua daripada Institut Jantung Negara (IJN), Isnin depan bagi mengetahui status sama ada beliau boleh beraksi pada baki saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 atau sebaliknya.
Pengurus Maybank, Zamzam Mohamed Ali berkata, walaupun laporan perubatan Joel dikeluarkan IJN Ahad lepas adalah baik, namun bekas pemain kebangsaan itu sendiri meminta untuk membuat penilaian kedua sebelum membuat tindakan selanjutnya.
Iklan
Iklan
"Joel mahu dapatkan keyakinan pada penilaian kedua (laporan perubatan IJN) sebelum memutuskan untuk beraksi pada saingan kali ini atau tidak.
"Kami tidak mahu terburu-buru dalam hal ini dan akan berbincang lebih lanjut bersama Joel serta keluarga selain IJN dan juga Institut Sukan Negara jika laporan perubatan keduanya Isnin nanti adalah baik,” katanya pada Isnin.
Joel, yang merupakan anak kepada bekas ketua jurulatih kebangsaan Stephen Van Huizen, dilaporkan rebah pada suku pertama ketika aksi pembukaan saingan MHL 2021 menentang TNB Thunderbolts, yang menyaksikan pasukannya menang 5-0, Khamis lepas.
Beliau yang terus dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan selanjutnya, dilaporkan kembali sedar sebelum tiba di hospital namun tetap dimasukkan ke PPUM sebelum dibenarkan keluar Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Zamzam berkata keadaan kesihatan Joel, yang bersama pasukannya sejak tahun lepas, kini dilaporkan baik namun mengulangi pendirian mengutamakan kesihatan para pemain sebelum membuat sebarang tindakan lanjut. - Bernama