UCAM bantu B40 jana pendapatan

Iklan
UCAM menjalankan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) serta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) bagi membantu golongan B40, pekebun kecil dan masyarakat luar bandar menjana pendapatan.

MELAKA - Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menjalankan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) serta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) bagi membantu golongan B40, pekebun kecil dan masyarakat luar bandar menjana pendapatan.

Institusi pengajian tinggi milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ini, terus komited dalam mempertingkatkan kecemerlangan akademik, latihan dan TVET secara agresif, sekali gus menyokong hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi melahirkan 'Luar Bandar Sejahtera'.

Iklan
Iklan

Antara kursus jangka pendek yang ditawarkan adalah Kursus Fertigasi Cili, Kursus Ternakan Ikan Air Tawar, Kursus Tanaman Sayuran Jangka Pendek, Tenaga Kerja Getah Masyarakat Luar Bandar, Tenaga Kerja Sawit Masyarakat Luar Bandar, Kursus Asas Jahitan Pakaian, Kursus Solekan dan Andaman, Kursus Baik Pulih Telefon, Kursus Bakeri, Kursus Tanaman Fertigasi, dan Kursus Pengurusan Tapak Semaian.

Ketua Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Hisan berkata, program yang dilaksanakan bertujuan untuk menjana dan meningkatkan pendapatan seisi keluarga, serta memulihkan semula ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

Iklan

"Kedua-dua program ini amat penting bagi menjamin matlamat negara dalam meningkatkan dan memperluas khidmat bimbingan kerjaya di setiap peringkat terutamanya golongan sasar serta B40 seperti yang dinyatakan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kesemua program ini dilihat selari dengan objektif KPLB bagi mencapai matlamat ‘Luar Bandar Sejahtera’ yang semestinya mengutamakan keperluan rakyat serta mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik.

Iklan

"Model Perancangan Strategik RISDA (MPSR 2021-2025) yang dilaksanakan ini juga akan memastikan pendapatan pekebun kecil mesti mencapai minimum RM4,395 sebulan seisi keluarga pada Y1 tahun 2025," katanya pada Selasa.

Menteri KPLB, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad telah mengadakan lawatan khas di UCAM, dekat sini pada Selasa.

Abdul Latiff (dua dari kanan) sedang melihat pekerja memilih cili ketika mengadakan lawatan ke UCAM, Melaka pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, model tersebut juga menjadi titik fokus penilaian RISDA dalam perancangan program atau projek berimpak tinggi dan bersasar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-12.

"UCAM turut memperkenalkan program latihan TVET kepada usahawan dan agensi di bawah KPLB bagi Program Pensijilan Halal. Antara latihan TVET yang diberi penekanan adalah Kursus Akreditasi Pensijilan Halal, Eksekutif Halal serta Kursus Latihan Pengendali Makanan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menambah baik keperluan sistem pendidikan, selaras dengan normal baharu pasca Covid-19, UCAM melihat keciciran pendidikan formal dalam kalangan pelajar lepasan menengah adalah sesuatu yang serius dan perlu difikirkan bersama.

"Demi menjamin kelestarian pendidikan formal terutamanya dalam kalangan anak-anak golongan B40, UCAM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal mewujudkan Dana Pembiayaan Pendidikan/ Biasiswa DipB40 dan BacB40 khusus bagi golongan B40.

UCAM terus komited dalam mempertingkatkan kecemerlangan akademik, latihan dan TVET secara agresif bagi melahirkan 'Luar Bandar Sejahtera'.

Biasiswa ini dilihat akan membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang layak bagi mengikuti program Pengajian Diploma atau Sarjana Muda terpilih di Kolej Universiti Agrosains Malaysia.

UCAM secara tidak lansung ingin memainkan peranan di dalam menangani isu jaminan makanan (food security) dengan melahirkan lebih ramai lagi agropreneur muda negara yang berjaya terutamanya daripada golongan Bumiputera.

Kemasukan bagi program akademik UCAM bakal dibuka pada 22 April 2021 bagi program Asasi Sains dan Asasi Pengurusan Perniagaan dan kemasukan bagi program-program Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana akan dibuka pada 28 Julai 2021 yang akan datang.

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari www.ucam.edu.my.