STATUS pendatang baharu dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita 2021, nyata tidak menghalang UniKL Ladies untuk membuat kejutan apabila merekodkan kemenangan bergaya 17-0 ke atas Mutiara Juniors PSHA pada Isnin.
Jurulatih UniKL Ladies, Roslan Jamaluddin menyifatkan kejayaan besar ketika bermain dalam keadaan basah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menentang pasukan dari Pulau Pinang itu, membangkitkan semangat mereka untuk menghadapi cabaran seterusnya bertemu bekas juara PDRM Blue Warriors, esok.
Walaupun berjaya melakar kemenangan yang tidak diduga, Roslan mengakui cuaca hujan menjejaskan momentum pemain kerana perlawanan itu ditangguhkan 30 minit.
"Hujan yang turun sepanjang perlawanan menyebabkan kami kehilangan momentum. Kami mencipta banyak peluang terhadap pasukan muda dari Pulau Pinang itu.
"Kami tahu tidak akan menghadapi banyak masalah menentang pihak lawan pada perlawanan itu. Bagaimanapun, ia merupakan permulaan yang baik buat kami kerana beberapa pemain berjaya menjaringkan gol dan setiap perlawanan adalah penting,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
UniKL yang diperkuatkan dengan tujuh pemain kebangsaan, melakukan serangan sejak wisel pertama dibunyikan walaupun dalam keadaan hujan lebat untuk mencatat margin kemenangan terbesar dalam liga wanita itu yang dilancarkan pada 2015.
Mutiara Juniors PSHA bagaimanapun gagal menandingi pasukan yang berpengalaman itu dan terpaksa akur dengan kekuatan pihak lawan.
Jaringan hatrik diledakkan oleh penyerang kebangsaan Nuraini Abdul Rashid (minit ke-2, 5, 56) dan Hanis Nadiah Onn (29, 44, 54).
Dua gol pula masing-masing disumbangkan Nuramirah Shakirah (minit ke-8, 46), Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail (19, 41), Nur Afiqah Syahzani Azhar (21, 41), Siti Azlinda Atan (37, 50) dan Nur Atira Mohd Ismail (39, 60) sementara baki satu gol dijaringkan oleh Norazlin Sumantri (55). - Bernama