SHAH ALAM - Usaha kerajaan membenarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilakukan secara percuma dijangka menghidupkan kembali ekonomi industri pelancongan negara yang telah lama terhenti akibat penularan pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pengumuman berkenaan membantu mempercepatkan pembukaan semula pintu sempadan negara bagi kemasukan pelancongan ke Malaysia.
Menurutnya, industri umrah dan haji yang turut terkesan akibat pandemik dapat bernafas kembali sekiranya sempadan negara dibuka.
"Papuh juga berharap agar kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dapat mempertimbangan pembukaan semula pintu sempadan dalam masa terdekat supaya jemaah umrah Malaysia dapat mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi.
"Kami yakin rata-rata rakyat Malaysia amat merindui untuk mengerjakan ibadah umrah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, individu yang mendapat temu janji untuk suntikan vaksin Covid-19 di hospital atau klinik swasta tidak perlu membayar sebarang caj.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, caj berkenaan sebaliknya akan dibayar oleh kerajaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada caj suntikan vaksin Covid-19 di hospital, klinik swasta