RAKYAT tahu tidak semua ahli politik pegang prinsip, berintegriti dan bermaruah.
Ada yang memberi nama buruk pada politik akibat tindakan mereka.
Tapi amalan melompat parti adalah sesuatu yang sangat memalukan.
Apabila Dr Xavier Jayakumar umumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar parti serta-merta, Awang rasa sangat kecewa.
Awang bukanlah pengundi beliau di Parlimen Kuala Langat. Awang percaya pengundi beliau tentulah amat marah.
Xavier merupakan pimpinan tertinggi PKR yang keluar parti setakat ini.
Tak pedulilah apa alasan beliau untuk lompat parti. Katanya tak puas hati dengan PKR. Mungkin juga tak setuju dengan tindakan Tuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini juga tamparan hebat pada Tuk Seri Anwar yang selama ini dakwa dia ada jumlah ahli Parlimen yang cukup untuk jatuhkan kerajaan Tan Sri Perdana Menteri.
Tiba-tiba naib presiden parti dia sendiri lompat pagar!
Nasihat Awang pada kerajaan Tan Sri Perdana Menteri, nak kekal berkuasa bukan ini caranya.
Awang terbaca kenyataan seorang pemimpin Bersatu bahawa ada lagi yang akan ikut lompat parti.
Jikalau dengan cara memancing orang untuk berkuasa hal itu tentulah sangat memalukan.
Ada orang cakap, politik Malaysia berada pada tahap paling rendah masa ini. Awang mulai percaya ada kebenarannya.