SHAH ALAM - Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia perlu mempergiatkan aktiviti kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan mahasiswa.
Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Keusahawanan (PKU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Marwan Tahir berkata, universiti perlu mewujudkan satu program yang melibatkan agensi-agensi kerajaan dalam memberi pendidikan berkenaan isu rasuah.
"Sebagai contoh di USIM, pihak PKU telah mewujudkan Siswapreneur Business Ethics and Compliance (SBEC) dalam memberi pendedahan melalui modul seperti ‘Mahasiswa menjadi ejen memerangi perniagaan tidak beretika’.
"Selain itu, integriti dan pencegahan rasuah turut menjadi modul yang digunakan dan disampaikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Program ini juga di bawah kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), SPRM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Marwan berkata, pengetahuan berkenaan Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam Perlu juga perlu diperkukuhkan.
"Pengetahuan tersebut perlu dilaksanakan bermula di peringkat awal, keluarga dan masyarakat itu sendiri.
"Garis panduan tersebut dari pandangan undang-undang sudah lengkap dan mencukupi dari segi peruntukan dan hukuman tatatertib namun dari sudut perlaksanaan perlu ditingkatkan dan dimurnikan supaya keadilan dan kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan jenayah rasuah yang berleluasa akan mencemarkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
"Terlampau banyak kes yang dilaporkan dan disabitkan akan menunjukkan perubahan yang ketara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
"Orang luar akan memberi pandangan buruk dan negatif terhadap negara kita disebabkan peningkatan indeks tersebut,” katanya.