GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan diminta campur tangan dalam usaha memelihara kediaman bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Pulau Tikus di sini daripada dijual kepada pihak lain.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya diharap boleh membantu menggazetkan kediaman tersebut sebagai rumah warisan sebelum dijadikan sebagai Galeri Tunku.
Mengambil contoh salah satu kediaman Almarhum di ibu negara yang kini dijadikan galeri, Mohd Yussof meminta agar kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan sama kepada rumah di Pulau Tikus itu bagi memperingati jasa dan pengorbanan Almarhum Tunku.
"Kediaman ini merupakan peninggalan Almarhum yang perlu dipelihara demi memperingati pengorbanan Almarhum kepada negara suatu ketika dahulu.
"Oleh itu, saya mohon agar kerajaan Persekutuan menggazetkannya sebagai rumah warisan sebelum dijadikan Galeri Tunku. Inilah langkah terbaik untuk memelihara warisan yang ditinggalkan Almarhum.
"Bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana ia tidak dirobohkan, namun ia tetap perlu dipelihara dengan menjadikannya sebagai Galeri Tunku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya berharap agar kediaman itu dapat diselamatkan daripada lenyap di tangan pemaju hartanah.
Menurutnya, Pulau Pinang sangat dikenali sebagai pusat pelancongan terkemuka dan sangat sesuai rumah tersebut dijadikan muzium sebagai satu lagi produk tarikan orang ramai ke negeri itu.
"Pada asalnya kawasan rumah berkenaan terletak Ayer Rajah Road, namun namanya ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai pengiktirafan kepada Perdana Menteri pertama dan Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu.
"Memandangkan ada ruang untuk membeli, Pemikir mencadangkan agar kerajaan negeri ataupun pusat mendapatkan kediaman terbabit dan dijadikan ia milik kerajaan supaya ia kekal selama-lamanya menjadi milik negara,” katanya.
Dilaporkan kediaman yang pernah dimiliki Tunku Abdul Rahman dibuka untuk jualan dengan harga RM62 juta.
Menurut sumber laman Penang Property Angel, hartanah yang terletak di Pulau Tikus dengan keluasan tanah 64,472 kaki persegi itu sedia dijual dengan harga tinggi susulan lokasinya yang bernilai tinggi dan amat strategik.
Bukan sahaja untuk dijual, malah kediaman itu juga boleh disewa dengan kadar RM25,000 sebulan oleh pihak persendirian mahupun organisasi.
Rekaan klasik kediaman itu seperti rekaan dalaman ‘British Design’ melalui ruangan dalam dan luar kediaman tersebut.
Rumah agam itu juga dilengkapi dengan keluasan 9,867 kaki persegi, namun ia kini tidak didiami sejak beberapa tahun lalu sehingga kini.
Difahamkan, kediaman berkenaan telah menjadi pilihan Almarhum Tunku sehingga beliau mangkat pada tahun 1990.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, buat masa ini kerajaan Pulau Pinang tidak diberi sebarang maklumat mengenai penjualan kediaman tersebut.
Kon Yeow bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan lebih maklumat berhubung perkara itu sebelum mengulas lebih lanjut.
"Kediaman ini adalah aset negara yang perlu dipelihara dan dilindungi. Saya harap kerajaan Persekutuan juga mengambil maklum tentang isu ini.
"Untuk sementara waktu, biar kerajaan negeri memperoleh maklumat lanjut mengenai kediaman tersebut terlebih dahulu,” katanya.