SHAH ALAM - Tidak mustahil berlakunya gelombang baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika dilihat berdasarkan situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana sekiranya mereka yang berumur 18 tahun dibenarkan mengundi, golongan tersebut dilihat lebih cenderung membuat pilihan berdasarkan persepsi.
"Jadi kalau orang-orang politik yang sedia ada terus-menerus memberikan persepsi yang tidak betul mengikut selera dan kemahuan mereka, maka saya yakin mereka akan menjadi lebih menghukum berbanding daripada pengundi tahun 2018.
"Kerana 2018 itu mereka mengundi berdasarkan kapasiti yang telah dibina sepanjang pengamatan daripada krisis politik tahun 2008, kemudian 2013, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebagainya, maka diterjemahkan dalam konteks peti undi tahun 2018,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-239 bertajuk ‘Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi Atau Terdesak?’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.
Wacana turut menampilkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Timbalan Pengerusi Lajnah IT dan Data Raya Pas Pusat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, menjelang menuju PRU15, dinamika akan menjadi lebih unik, dinamik dan menghukum.
"Yang ini lebih kita takutkan kerana dalam konteks kita yang bermasyarakat majmuk dengan parti politik itu dilihat dalam konteks perkauman, ini akan menajamkan lagi aspek persaingan politik berbanding perwakilan politik.
"Di mana dalam konteks demokrasi, aspek perwakilan itu adalah kunci utama kerana perwakilan akan memberikan penyertaan suara yang lebih meluas kepada orang tetapi kalau ditajamkan kepada aspek persaingan, maka kita tidak akan melihat ada parti politik yang mampu membentuk kerajaan disebabkan tajamnya persaingan itu,” katanya.