SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun 11 bulan ditemui tidak sedarkan diri selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Selasa.
Ibu mangsa, Nor Azira Abd Halim, 36, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa anak bongsu dua beradik itu ketika sedang bekerja.
Menurutnya, mangsa, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi telah mengikuti pembelajaran di tadika terbabit sejak tahun lalu dan dijemput kakitangan tadika di rumah yang terletak berdekatan pada jam 7.45 pagi hari kejadian.
"Sebelum keluar bekerja lepas Subuh semalam, saya tengok Muhammad Harraz Aryan masih tidur dan kebiasaannya disiapkan nenek untuk ke tadika.
"Sebelum ini, petugas tadika menjemput anak setiap pagi tetapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan, hanya Selasa dan Rabu sahaja, selebihnya saya hantar kerana bekerja pada hari tertentu sahaja,"jelasnya.
Menurut Nor Azira, anaknya seorang yang ceria di rumah namun agak pendiam apabila berada di sekolah.
"Saya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sekiranya berlaku kecuaian atau unsur jenayah, semuanya bergantung kepada hasil bedah siasat yang dijalankan,"katanya.
Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Rabu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Sungai Petani selepas selesai bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil maklumat awal, mangsa dan seorang kanak-kanak lain telah diambil oleh pengetua tadika pada jam 7.45 pagi.
Menurutnya, mangsa diletakkan di tempat duduk penumpang belakang manakala seorang kanak-kanak lima tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan.
"Mangsa ketika itu dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang bahagian kiri.
"Apabila sampai di tadika, seorang petugas lain telah mengambil kanak-kanak lima tahun bagi memulakan sesi pembelajaran.
"Pengetua terus parkir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,"katanya.
Menurut Adzli, mangsa berada dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan antara jam 8 hingga 12.15 tengah hari.
"Ketika pengetua mahu hantar semula mangsa ke rumah, dapati mangsa tiada dalam kelas dan guru kelas memberitahu kepada pengetua yang mangsa tidak hadir ke sekolah.
"Pengetua terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan tadika dan dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.
"Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulan dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia semasa sampai di hospital dan tiada kesan kecederaan luaran,"katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.