Lebih 10,000 pengunjung ke Karnival Rahmah

Iklan
Antara peserta terlibat dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan.
LEBIH 10,000 pengunjung menghadiri Majlis Tilawah/Hafazan Al-Quran dan Karnival Rahmah Peringkat Wilayah Persekutuan 2019 yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur bermula kelmarin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail berkata, acara tahunan itu dianjurkan bertujuan untuk mendaulatkan al-Quran dengan harapan umat Islam dapat beramal berpandukan kitab suci berkenaan.

Disamping itu, katanya, penganjuran majlis tersebut adalah untuk memilih calon mewakili Wilayah Persekutuan untuk bertanding pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) yang dijangka diadakan pada 17 hingga 22 Mac 2019 di Seremban, Negeri Sembilan.

"Majlis tilawah kali ini disertai sembilan peserta iaitu lima qari dan empat qariah dari Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Salah seorang peserta iaitu masing-masing qari dan qariah merupakan johan menunggu bagi pertandingan ini. Johan bagi kategori qari dan qariah masing-masing membawa pulang tunai RM5,000 berserta pakej umrah," katanya.
MOHD AJIB
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Mohd Ajib menambah, Karnival Rahmah Peringkat Wilayah Persekutuan turut diadakan serentak dengan majlis itu bagi menyahut seruan kerajaan dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah.

Katanya, karnival itu menggabungkan beberapa program lain seperti seminar, simposium dan pameran yang melibatkan pelbagai agensi lain.

"Antara agensi-agensi terlibat ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV AlHijrah, Yayasan Taqwa (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP).

"Turut terlibat Jabatan Penerangan Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kumpulan Media Karangkraf," katanya.

Pembuka tirai majlis tilawah dan hafazan serta karnival itu dimulakan dengan program kecergasan fizikal, Program Jom Sihat Dan Cergas Mega Senaman Tabata.
Program senaman Tabata membuka tirai Majlis Tilawah/Hafazan Al-Quran dan Karnival Rahmah Peringkat Wilayah Persekutuan 2019.


Selain itu, beberapa program menarik turut dijalankan untuk pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung. Antaranya, pertunjukan busana Muslimah, demontrasi masakan dan kursus gubahan bunga dan pertandingan mewarna dan melukis.

Bukan itu sahaja, ia turut diserikan dengan acara halwa telinga pengunjung menerusi persembahan muzikal Islamik yang membariskan Kumpulan UNIC, PU Razi, Hud Busker Islamik, Asy-Syakirin Voice, Kumpulan Ary-Rayyan dan Kelab Tarannum Profesional Masjid KLCC.

Majlis itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.