BIARPUN mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, namun pengendali Manchester City, Pep Guardiola tetap akan melakukan ‘kajian’ bagi mengharungi kedua-dua aksi timbal balik nanti.
Katanya, kajian berkenaan dilihat penting bagi memastikan kesebelasan The Netizens dapat mempamerkan aksi terbaik dan memastikan kejayaan pasukan dalam saingan Liga Juara-Juara kali ini.
"Kita tidak terlalu memikirkan mengenai kemenangan kerana ia akan membuatkan anda ‘lupa’ untuk membuat analisis mengenai pihak lawan, persiapan pasukan, prinsipal pasukan dan sebagainya.
"Sama seperti kali ini, saya juga tidak memikirkan mengenai peringkat separuh akhir sebaliknya memikirkan untuk melakukan yang terbaik bagi suku akhir pertama dan suku akhir kedua.
"Oleh itu, kesebelasan pemain juga akan diminta untuk beraksi berdasarkan kepada kajian serta analisis berkenaan,” katanya.
Pada awal pagi Rabu, City mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Juara-Juara setelah menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0 di Etihad.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan City mara dengan aggregat 4-0 hasil kemenangan 2-0 pada di Puskas Arena, 25 Februari lalu.
Sementara itu, Guardiola berkata, kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara kali ini dilihat mencerahkan lagi peluang Manchester City untuk memenangi trofi keagungan bola sepak Eropah itu.
Katanya, perkara berkenaan adalah antara isu pertama yang diajukan kepadanya ketika tiba di Etihad 2016 lalu.
"City perlu menang Liga Juara-Juara. Itu perkara pertama yang mereka katakan kepada saya pada musim pertama saya tiba ke sini dahulu.
"Sejak itu, perkara telah menjadi sebagai antara sasaran kami pada setiap musim. Namun saya tidak memberikan keutamaan kepadanya,” katanya.