MOSCOW - Instagram pada Selasa mengumumkan dasar baharu yang akan mengehadkan komunikasi antara remaja dan orang dewasa yang belum saling mengikuti, lapor Sputnik.
Rangkaian sosial perkongsian foto itu akan menggunakan teknologi pembelajaran mesin untuk mengenal pasti usia penggunanya dengan lebih cekap dan menunjukkan arahan keselamatan kepada kanak-kanak bertujuan melindungi mereka menjadi sasaran gangguan.
Iklan
Iklan
"Untuk melindungi remaja daripada kenalan dewasa yang tidak diingini, kami memperkenalkan ciri baharu mencegah orang dewasa menghantar mesej kepada pengguna di bawah 18 tahun yang tidak mengikuti mereka," kata Instagram dalam satu kenyataan.
Aplikasi ini akan memberi amaran kepada remaja ketika pengguna dewasa yang ditandakan sebagai"tingkah laku yang berpotensi mencurigakan" menghubungi mereka. Contoh tingkah laku seperti itu adalah menghantar sejumlah besar permintaan menjadi rakan atau mesej kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun.
Aplikasi kendalian Facebook itu merancang memperkenalkan lebih banyak ciri pilihan dalam waktu terdekat untuk menyukarkan pengguna dewasa berinteraksi dengan remaja, termasuk menyembunyikan akaun remaja dalam pilihan"pengguna yang disarankan". - Bernama