BANGKOK - Enam anjing penghidu jenis Labrador digunakan untuk mengesan individu dijangkiti Covid-19 tanpa gejala di lapangan terbang dan pelabuhan tertentu di Thailand dengan kadar ketepatan sekitar 95 peratus.
Anjing itu dilatih oleh Fakulti Sains Veterinar Universiti Chulalongkorn.
Timbalan Dekan Fakulti Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Kaywalee Chatdarong di laman web Chula Journal berkata, fakulti itu memutuskan untuk melatih anjing penghidu Labrador kerana ia jinak dan memiliki deria bau yang baik.
Dr Kaywalee merangkap ketua projek berkata, deria bau anjing adalah 50 kali lebih baik berbanding manusia dan menerusi peluh manusia, haiwan itu dapat menghidu individu yang dijangkiti virus tetapi tidak bergejala.
"Apabila seekor anjing duduk, bermaksud individu itu tidak bergejala," katanya.
Anjing penghidu juga digunakan di Finland, Jerman, Perancis dan Australia.
Pada masa depan, Dr Kaywalee berharap dapat melatih anjing untuk mengesan pesakit yang menghidap penyakit seperti diabetes, kemurungan, malaria dan Alzheimer.
Sementara itu, doktor haiwan yang pakar dalam penyakit berjangkit dan anggota pasukan penyelidikan fakulti Profesor Madya Dr Somporn Techa-ngarmsuwan berkata, proses ujian adalah selamat untuk anjing, orang awam dan pegawai terlibat.
Menurutnya, pasukan penyelidik menggunakan sampel peluh pesakit Covid-19 dan membiarkan anjing-anjing itu menghidunya dari jauh.
Projek itu, katanya, adalah kerjasama antara Fakulti Sains Veterinar, Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains universiti, dan dibiayai oleh Eksplorasi dan Pengeluaran Chevron Thailand.
Terkini, Thailand mencatatkan 27,402 kes baharu Covid-19 dan 88 kematian. - Bernama