Pokok warisan Melaka berusia lebih 120 tahun tumbang

Iklan
'Peltophorum Pterocarpum' berusia 127 tahun di hadapan Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir, Melaka tumbang awal pagi Rabu.

MELAKA - Pokok ikonik Melaka atau nama saintifiknya ‘Peltophorum Pterocarpum' berusia 127 tahun dan sering menjadi lokasi bergambar pelancong di hadapan Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir, di sini rebah dalam kejadian angin kencang awal pagi Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6.45 pagi, pokok dari jenis Batai Laut itu dipercayai ditanam sejak zaman penjajahan British pada tahun 1824 lalu.

Iklan
Iklan

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Dr Mohd Nasruddin Rahman berkata, faktor persekitaran mungkin menjadi punca pokok berkenaan tumbang dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang melakukan pembersihan di kawasan terbabit yang juga Bandar Warisan Dunia UNESCO.

Menurutnya, pokok warisan itu telah diwartakan di bawah Majlis MBMB supaya tidak ditebang dan hanya dipelihara dari segi landskap yang mana kebanyakan pokok jenis itu ditanam oleh kerajaan British pada zaman penjajahannya sebagai tanda kawasan.

Iklan

"Penjajahan British telah berlaku pada tahun 1824 dan berdasarkan sekeping gambar pada tahun 1910, pokok itu telah berada di situ dengan ketinggian 12 kaki.

"Jadi kita percaya ia telah mula ditanam sekitar lewat tahun 1890, katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Tambahnya, satu kajian mengenai trafik di kawasan ini perlu dilakukan kerana ia mungkin menjadi antara punca akar-akar pokok peninggalan sejarah ini menjadi lemah dan reput disebabkan gegaran persekitaran.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka siap petang ini selain pasukan polis turut membantu bagi tujuan keselamatan awam dan kawalan lalu lintas.

Menurutnya, keadaan cuaca hujan lebat diikuti kelajuan angin 6 kilometer sejam malam Selasa menyebabkan sebatang pokok Batai Laut yang berusia lebih 100 tahun berketinggian 18 meter dan berdiameter hampir 1.5 meter itu tumbang.

"Pada masa ini proses pembersihan sedang dijalankan serta kerja-kerja penanaman semula daripada pokok jenis yang sama juga akan dibuat bagi menggantikan pokok yang telah tumbang ini," katanya.