SHAH ALAM - Guardian Malaysia (Guardian) mengagihkan sebanyak 9,500 botol cecair pembasmi kuman kepada 22 rumah dan organisasi amal terpilih dari seluruh negara.
Pengarah Pemasaran Jenama, Kesihatan dan Kecantikan, Asia Tenggara, Anna Ng berkata, kesemua botol cecair pembasmi kuman itu telah didermakan oleh pelanggannya menerusi kempen Guardian yang diadakan baru-baru ini.
"Hanya dengan pembelian berjumlah RM40 dan ke atas di Guardian, pembeli telah menerima sebotol cecair pembasmi kuman percuma.
"Mereka boleh mendermakan botol berkenaan ke rumah atau organisasi kebajikan di beberapa negeri yang telah dipilih oleh Guardian. Menariknya, ramai yang telah membeli lebih banyak cecair pembasmi kuman untuk didermakan ke rumah-rumah kebajikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun kempen itu berlangsung hanya seminggu, namun respons yang diterima cukup luar biasa.
"Sokongan murni untuk golongan yang memerlukan ini benar-benar menyentuh hati terutamanya pada masa mencabar ini ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 memerlukan penjagaan keselamatan yang lebih baik.
"Kita harus berdisiplin dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk memastikan kebersihan diri yang baik. Apa yang penting ialah memastikan tangan kita kekal bersih pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kempen itu adalah salah satu cara untuk membantu dan memastikan golongan yang kurang bernasib baik seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah kebajikan mendapat cecair pembasmi kuman yang berkesan untuk membersihkan tangan mereka serta mengekalkan kebersihan.